Persada terima bungkusan hina Anwar

ALOR SETAR- Persatuan Mahasiswa Darul Aman (Persada) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 10.30 pagi semalam selepas menerima bungkusan yang menghina Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu.

Timbalan Presiden Persada, Ammar Badruddin Romli diiringi Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah,Abd Muaz Aziz., bungkusan yang dihantar ke pejabat Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Insaniah, di sini, mengandungi buku menghina Anwar selain a risalah dan cakera padat yang berunsur perkauman dan fitnah.

Menurutnya, buku menghina Anwar itu bertajuk ‘50 kemusykilan tentang manusia bernama Anwar Ibrahim’ dan risalah lain dianggap sebagai perbuatan terkutuk pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menabur fitnah selain bertujuan memecah belah perpaduan kaum di negara ini.

“Perbuatan ini berunsur provokasi yang boleh mencemar dan memecah belah perpaduan kaum sehingga boleh menjejas keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Saya yakin perbuatan ini dilakukan oleh individu mahupun kumpulan yang mempunyai agenda tersendiri bagi menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,”katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis, di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Persada, Hafizuddin Hairudin berkata, tindakan membuat laporan polis itu dibuat selepas pihaknya berbincang dengan semua kepimpinan Persada selain mendapat nasihat perundangan daripada yang lebih berpengalaman dalam hal ini.

Menurutnya, ini adalah kali pertama hal yang seumpama ini melibatkan Persada selain tidak menolak kemungkina ia dilakukan oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik.

“Kemungkinan ia dilakukan oleh sekumpulan individu yang ditaja kerana kos sebuah buku dan risalah yang diterima juga memerlukan modal yang banyak.

“Justeru, kepimpinan Persada berharap pihak polis dapat menyiasat kes ini supaya ia tidak berulang lagi,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan itu yang dibuat di IPD Kota Setar pagi semalam.

“Laporan telah diterima dan siasatan lanjut bagi kes ini akan dilakukan,”katanya.

0 alu perlu kritikan:

Post a Comment