ucapan dasar Presiden MPM sesi 2009/2010

Ucapan dasar

Presiden MPM KUIN,sesi 2009/2010

Bismilahirahman nir rahim

Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera

Yang berbahagia,Prof Dato Rektor KUIN,Prof dato dr Jamil bin osman

Yang berbahagia,Tim rekor HEA,prof madya zakaria bin man

Yang berbahagia,Tim rector HEP,Tuan hj noh bin dahya

………….

Marilah sama2 kita merafakkan jutaan rasa syukur kehadrat allah s.w.t atas kurnian nikmat iman dan islam,dan juga peluang yang telah diberikan kepada kita untuk sama2 kita berkumpul pada malam yang mulia dan didalam dewan yang serba indah ini.Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang telah mewariskan kepada kita keindahan islam dan akhlak nya juga buat semua sahabat dan keluarga baginda.Juga doa buat semua saudara-saudara muslimin dan muslimat diseluruh seantero dunia.

Sekali lagi ucapan syukur diucapkan kepada allah s.w.t atas kesempatan kita semua berkumpul di dalam satu majlis yang cukup gilang gemilang iaitu majlis pelancaran MPM sesi 2009/2010 juga majlis sambutan maal hijrah tahun 1431. Majlis ini diharapkan bakal mencapai objektif dan matlamatnya iaitu sebagai pencetus ke arah mewujudkan hubungan yang erat dan padu antara MPMINSANIAH dengan seluruh warga kampus, khususnya bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan yang lepas dalam konteks dunia kemahasiswaan kini

Selaku warga mahasiswa yang berdaya intelek, kita perlu sedar bahawa hayat kita di Medan ini tidak lama. Jesteru itu, rebutlah peluang yang ada dan isilah ruang-ruang yang tersedia dengan sebaik mungkin. Di sinilah merupakan arena perjuangan bagi kita selaku mahasiswa untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman dalam merintis jalan menghadapi hari muka. Berjaya atau gagal kita pada hari esok, bisa dicerminkan melalui usaha kita pada hari ini. Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan MPMINSANIAH untuk sidang yang baru ini, akan cuba mengemudikan bahtera yang kita sama-sama naiki di lautan ilmu ini dalam merentasi arus dan gelombang pelayaran yang pastinya penuh dengan ranjau kepayahan dan kesukaran. Jesteru, kami mengharapkan sokongan semua untuk sama-sama berpadu tenaga menuju satu matlamat yang sama iaitu Keredhaan ALLAH.

Seterusnya saya mewakili barisan majlis perwakilan mahasiswa mengucapan ribuan terima kasih kepada dato’ rector,tim rector dan semua pegawai KUIN kerana sanggup meluang kan sedikit masa bersama-sama dengan kami di dalam majlis ini.Walaupun ramai dikalangan kita yang tahu,kenkangan masa yang dihadapi oleh Yang Berbahagia dato rector yang sangat padat atas timbunan tugas untuk membawa INSANIAH ke peringkat yang lebih tinggi dan professional,Tetapi masih lagi mampu meluangkan masa bersama2 kami pada malam ini,Terima kasih.

Dato’ rector dan Sahabat-sahabat yang dirahmati oleh allah s.w.t sekalian.

Majlis Perwakilan Mahasiswa merupakan satu legasi perwakilan yang mewakili seluruh mahasiswa dan siswi di kampus insaniah,juga merupakan badan yang berperanan untuk mengasah bakat,idea dan pandangan mahasiswa untuk kebaikan pembangunan insan dan shahsiah di peringkat pelajar,juga kualiti dan nama di peringkat university.Bukan sahaja berfungsi untuk menjadi orang tengah atau pun penghubung antara pelajar dan badan pentadbiran tetapi merupakan salah satu nadi penggerak terpenting kepada penjanaan university kearah yang lebih cemerlang.Maka dengan itu saya menyeru kepada sahabat2 sekalian untuk bersedia bagi menanggung dan menjalan kan tanggung jawab yang besar dan mulia ini dengan amanah dan bijaksana.

Setiap daripada kita harus menerima hakikat bahawa alam kemahasiswaan yang kita lalui pada hari ini tidak lagi sama dengan apa yang dirasai oleh abang dan kakak kita dahulu. Saban hari, ada saja masalah-masalah dan isu-isu baru timbul, menyebabkan kita sebagai mahasiswa terkadang berasa tertekan dan ditekan. Keterbukaan mahasiswa/i dalam mengemukakan pandangan serta penilaian dari perspektifnya sendiri berhubung dengan sesuatu masalah, perlulah diberi perhatian oleh semua pihak dan seharusnya mendapat pertimbangan yang sewajarnya. Saya mewakili MPMKUIN ingin mengajak dan menyeru pimpinan-pimpinan pelajar melalui organisasi mahupun individu perseorangan agar sentiasa bersedia dalam mengutarakan cadangan atau kritikan membina demi kepentingan bersama. Segala idea yang dicanai perlu diajukan melalui perbincangan yang lebih ilmiah berpandukan kewarasan akal dan juga daya intelek yang dimiliki, contohnya melalui saluran ruang-ruang organisasi yang dibenarkan. Pihak MPMKUIN sentiasa bersedia menjadi perantara dalam membawa suara mahasiswa/i ke peringkat atasan. Jesteru, saya mengharapkan agar kita dapat bersatu hati serta menggabungjalinkan antara aspirasi , hak serta kepentingan bersama agar kebajikan mahasiswa/i terus terbela secara menyeluruh.Dalam perutusan pada kali ini, saya ingin menyeru para hadirin yang hadir untuk sama-sama menghayati misi serta agenda yang akan dibawa oleh MPMKUIN sidang ini. Semoga natijahnya kelak, akan lahir generasi ilmuan dan para graduan yang berketrampilan dan bersifat holistik yang bakal mencorakkan masa depan agama, bangsa dan Negara kearah yang lebih baik.

Mahasiswa merupakan generasi muda yang menjadi “pimpinan menunggu” di masa akan datang untuk mengantikan pemimpin Negara sekarang,justeru penerapan beberapa elemen-elemen penting dalam pentarbiahan dan mengislahkan diri mahasiswa di peringkat kampus amat diperlukan.Berapa ramai pimpinan hari ini yang mempunyai idea-idea hebat,tetapi tidak berlandaskan dengan garis panduan dari alquran dan sunnah?.Berapa ramai ahli-ahli falsafah yang mempunyai pandangan-pandangan yang kritis,tetapi tidak diadun sekali dengan ciri pemikir2 islam?justeru Pimpinan MPM Insaniah kali ini telah mengariskan lima dasar perjuangan dan kepimpinan untuk sesi 2009/2010 ini .dengan Bertemakan “Bersama Menjulang Thaqafah,Menuntut Amal dan Mencetus perubahan”.Majlis Perwakilan Mahasiswa Insaniah kali komited untuk menterjemahkan dasar-dasar murni perjuangan MPM sesi ini dengan pegerakan yang lebih sistematik dan agresif,iaitu

1)Penerapan “Islamic environment”.

2)Prihatin dan Berkebajikan.

3) Memantapkan sahsiah dan pembangunan mahasiswa daripada aspek akademik dan kepimpinan.

4)Jana peranan mahasiswa di peringkat kampus dan nasional.

5)Dasar luar yang lebih terbuka.

Mahasiswa Mahasiswi sekalian


MPMKUIN pada kepimpinan ini meneruskan kesinambungan MPM sidang lepas dalam membawa hala tuju organisasi ini melalui lima dasar utama Piagam Pelanggan MPMKUIN 2009/2010. Piagam Pelanggan ini akan menjadi rujukan utama kami dalam menjalankan amanah yang begitu besar ini di sepanjang tempoh perlantikan kami.
Piagam Pelanggan MPMKUIN :
1) Memperjuangkan hak-hak serta kepentingan mahasiswa
2) Menyelesaikan permasalahan mahasiswa melalui aduan-aduan yang diterima serta menjaga kebajikan seluruh warga kampus khususnya para mahasiswa/i
3) Memantapkan sahsiah dan pembangunan mahasiswa daripada aspek akademik dan kepimpinan
4) Merealisasikan fungsi mahasiswa sebagai suara kepada masyarakat
5) Menyatu padukan seluruh warga KUIN demi kepentingan bersama
Berlandaskan motto BERSAMA MENJULANG THAQAFAH,MENUNTUT AMAL DAN MENCETUS PERUBAHAN, arah hala tuju MPMKUIN bagi sessi 2009/2010 akan bergerak.

10 biro telah diwujudkan untuk menterjemah 5 dasar utama MPM dan tema yang telah digariskan,Iaitu Biro penerangan dan informasi,Biro Kepimpinan dan kerohanian,biro kebajikan,biro akademik,biro ekonomi,biro pembangunan insan dan kemasyarakatn,biro sukan dan kebudayaan islam,biro perhubungan antarabangsa,biro penempatan dan juga biro multimedia dan integrasi.Matlamat dan sasaran MPMKUIN yang dirancang oleh biro2 berwajib akan direncana kan didalam lebih 40 penganjuran program dan aktiviti di peringkat kampus,Negeri dan juga di peingkat nasional.Turut melibatkan siswa siswi,staf unversiti,masyarakat setempat dan malahan penglibatan pimpinan di barisan negeri dan Negara. Bersesuaian dengan moto penubuhan Insaniah iaitu “penerokaan kearah kebijaksanaan”.MPMINSANIAH bersungguh-sungguh untuk menunaikan peranan dan tanggungjawab untuk bersama-sama membawa Insaniah ke peringkat yang lebih baik dan berkualiti dari segi perkhidmatan,pembelajaran dan kebajikan.

Mahasiswa dan Mahasiswi yang dirahmati oleh Allah S.W.T

Penerapan “Islamic environment” ke dalam suasana di kampus INSANIAH merupakan satu agenda tradisi oleh MPM sejak penubuhanya,malahan merupakan dasar penubuhan INSANIAH.INSANIAH terkenal dengan suasana serta budaya islam yang cukup baik di kalangan mata Para akademik dan Penuntut di Institusi pendidikan yang lain.Baik diperingkat kebangsaan mahupun antarabangsa.Kemasukan pelajar-pelajar di setiap pengambilan yang melebihi kuantiti selesa memerlukan MPM lebih serius menjaga dan memakmurkan budaya dan suasana Islamic di kalangan warga kampus insaniah.BIRO KEPIMPINAN dan KEROHANIAN dipertanggung jawab kan untuk memastikan kelancaran perjalanan agenda ini dengan keadaan selesa.Dengan penganjuran program dan aktiviti yang berbagai demi memastikan Bi’ah yang baik ini terus terpelihara.Biro Kepimpinan dan kerohanian juga tidak ketinggalan untuk membina dan mengasah benih-benih kepimpinan muda untuk menjadi pelapis kepada MPM,Universiti dan juga Negara insyallah.Skuad amru dibawah selian BKK memastikan pembinaan roh kepimpinan dan sebagai pendesak kepada semua warga kampus untuk sentiasa memelihara Budaya Insaniah.

BIRO PENERANGAN DAN INFORMASI,Satu penjenamaan semula dari barisan kepimpinan yang lepas.MPMKUIN kali ini tidak mahu sahabat warga kampus ketinggalan dalam isu-isu peringkat kampus,negeri mahupun di peringkat nasional.Biro penerangan dan informasi selaku lidah kepada MPM akan sentiasa membawa isu-isu mahasiswa kepada semua mahasiswa dan mahasiswi.Isu-isu peringkat nasional juga akan sentiasa didedahkan kepada semua agar warga KUIN lebih cakna dan prihatin serta tidak ketinggalan.

Masalah kebajikan:MPM KUIN sesi ini optimis memandang isu kebajikan sebagai satu kewajipan utama MPM.bersandar kan dasar dan piagam pelanggan MPM,kami meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai senarai keutamaan perjuangan MPM sesi ini. Ingin ditegaskan di sini bahawa MPMKUIN kini, akan menitikberatkan sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengan kebajikan mahasiswa/i KUIN. Berpaksikan iltizam yang telah di nyatakan, MPMKUIN membina satu pasukan yang mantap dan prithatin bagi menyelesaikan permasalahan yang dialami oleh siswa/i. Dengan cogankata "masalah bersama" , ahli Biro Kebajikan MPMKUIN akan mengadakan kerjasama yang menyeluruh bersama-sama jabatan-jabatan di KUIN khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Jawatankuasa kuasa asrama(jaksa) di peringkat kolej kediaman dalam menyelesaikan masalah pelajar. Langkah pertama yang membuktikan bahawa kami bukan berkata kosong ialah melalui isu pendaftan semester baru dan pembayaran rm500.00,dan Alhamdulillah kerjasama yang baik yang telah Berjaya dijalin kan antara MPM dan Pentadbiran KUIN. Ini telah menunjukkan bahawa wujudnya usaha murni kami untuk menjadi wasilah penghubung antara mahasiswa/i dengan pihak pentadbir KUIN.
Bagi memenuhi hasrat tersebut, Biro Kebajikan akan menyediakan pelbagai saluran kepada pelajar bagi mengadukan masalah mereka untuk tindakan MPMKUIN seperti pembukaan borang Aduan di pejabat dan di Koperasi MPM. Malah, exco biro ini juga akan mengadakan perhubungan yang lebih erat dengan Biro Kebajikan JAKSA bagi memastikan kebajikan siswa/i yang tinggal di kolej kediaman terjaga .Masalah kebajikan mahasiswa yang tinggal diluar kampus juga tidak dilupakan, dengan satu penubuhan gagasan mahasiswa luar kampus yang akan dilancarkan dalam fasa januari ini untuk memantau masalah-masalah pelajar dirumah kampus. Saluran-saluran yang telah di wujudkan oleh kepimpinan MPM yang lalu akan diteruskan kerana terbukti ia berkesan malah ianya akan dipertingkatkan supaya lebih efektif untuk warga kampus. Malah para pelajar boleh berjumpa terus dengan mana-mana exco MPMKUIN di pusat pengajian masing-masing pada bila-bila masa. Sejajar dengan ketinggian teknologi kini, kami juga menyediakan konsep e-aduan dengan menerima sebarang aduan dan cetusan melalui homepage dan elektronik email. Lantaran itu, kami benar-benar berharap agar tidak akan kedengaran lagi suara-suara komen daripada pelajar KUIN yang menyatakan kesukaran untuk mengadu masalah mereka kepada ahli MPMKUIN. Dengan berkonsepkan "duduk sama rendah, berdiri sama tinggi" kepimpinan MPMKUIN sesi ini manginginkan satu hubungan mesra di antara kami selaku pemimpin dan warga kampus sebagai rakyatnya. Untuk itu, kami menyeru kepada semua warga kampus untuk mengorak langkah bersama kami dalam isu kebajikan mahasiswa.

Warga kampus sekalian,

Peningkatan jumlah pelajar KUIN yang agak tinggi saban tahun kadangkala menimbulkan kesulitan di kalangan pelajar. Ini kerana infrastruktur yang terdapat di kampus kebanyakannya hanya mampu menampung pelajar yang lebih kecil bilangannya daripada sekarang. Tambahan pula, nisbah jantina antara pelajar yang tidak seimbang juga menimbulkan beberapa kesulitan terutama kepada jantina majoriti. Kami akan bertindak sebagai jambatan bagi membawa sebarang masalah dan cadangan pelajar seperti penambahan kawasan-kawasan rehat bagi siswa dan siswi, 'water cooler' di sekitar kampus dan penambahbaikkan kualiti kebersihan tandas di kampus dan kolej kediaman kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab di universiti ini.Masalah fungi WIFI yang amat daif di kampus juag akan terus kita perjuangkan. Harus diingatkan di sini bahawa permasalahan berkaitan dengan kewangan dan keselesaan tempat belajar sememangnya turut mempengaruhi tahap pencapaian akademik pelajar. Justeru itu, ia adalah perkara yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak yang telah dipertanggungjawabkan untuk menanganinya.

Sidang hadirin hadirat yang dihormati.

Kolej Universiti INSANIAH kearah pengantarabangsaan.Seiring dengan cita-cita dato’ rektor untuk membawa INSANIAH kedalam arena global,MPM sesi ini komited untuk turut membawa organisasi ini kearah pengantarabangsaan.Berkiblatkan dasar MPM iaitu DASAR YANG TERBUKA,Kami cuba keluar dari tradisi dan kepompong untuk hanya berfungsi pada pelajar tempatan dan di dalam kampus sahaja.Sesi ini kita dikejutkan dengan kemenangan seorang calon pelajar antarabangsa dalam Pilihanraya kampus yang lepas.Ini membuktikan mahasiswa/I KUIN kearah yang lebih terbuka.MPMKUIN juga mesasarkan untuk penggunaan 3 bahasa utama disetiap majlis juga iklan yang dijalan kan,baik diperingkat MPM mahupun diperingkat persatuan lain.

MPMKUIN kali ini tidak mahu hanya digelar jaguh kampong yang hanya berfungsi dan mengambil cakna dengan isu-isu kampus sahaja.Tetapi kami komited untuk meluas kan peranan dan fungsi mahasiswa di peringkat yang lebih luas dan tinggi.Penubuhan GAMIM atas cetusan idea mantan presiden MPMKUIN yang lepas,sedikit sebanyak telah membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa KUIN khususnya dan mahasiswa IPTIM umumnya untuk berperanan di peringkat negeri dan nasional,juga sebagai satu platform untuk kita menyalurkan idea dan cadangan kita ke peringkat national.

Penglibatan secara aktif MPMKUIN dalam MPPK(majlis perundingan pelajar kebangsaan),juga ISC (Ipts student Caucus)Gabungan mahasiswa IPTIM seMalaysia(GAMIM) bakal memberi kan kesan yang positif kepada pembinaan idea dan perjalanan mahasiswa/I kearah yang lebih baik.saya mewakili MPMKUIN menyeru kepada semua sahabat-sahabat KUIN untuk melibatkan diri dan mencari peluang sebaik nya untuk kepentingan bersama.

Sahabat-sahabat mahasiswa/I yang dirahmati oleh allah s.w.t

Akdemik nombor satu,berpesatuan bukan nombor dua moto Biro Akdemik sesi ini.MPMKUIN komited untuk membantu sahabat-sahabat kampus untuk memartabatkan akademik lantas tidak mengabaikan program-program yang dianjurkan oleh MPM.Biro akademik mensasarkan perlaksanaan Kelas tambahan diantara pelajar ke pelajar untuk perkongsian ilmu yang lebih maximum.Kaedah “student of the month” yang bakal dipertengahkan bakal memberikan persaingan dan sihat dan kompetetif dikalangan warga kampus.Penganjuran budaya diskusi ilmiah antara pimpinan pelajar juga akan diberbanyakan.

Pembinaan Budaya membaca dikalangan mahasiswa/ I juga akan diperkasakan dengan kempen berterusan oleh MPMKUIN dan kerja sama dari jabatan kuliyah dan akademik di Insaniah.Kerjasama yang lebih erat diantara pusat bahasa dan jabatan kuliyah akan diteruskan untuk bersama-sama membina mahasiswa intelek seterusnya mampu membawa KUIN ke paras akademik yang lebih tinggi.

Kebudayaan, tanda ketamadunan bangsa. Budaya adalah satu perkara yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan setiap masyarakat global. Hal ini kerana budaya merangkumi cara hidup manusia. Pendek kata, budaya ialah identiti kepada sesuatu bangsa yang seterusnya membentuk ketamadunannya. Namun dewasa ini, kita seakan memandang kebudayaan hanya melalui hiburan murahan yang hanya memperdagangkan rentak tari yang mengalpakan atau pesta keseronokkan yang langsung tidak memberikan sumbangan kepada fikriah dan rohani insan. Dalam konteks kita INSANIAH, kebudayaan yang kita mesti tonjol dan amalkan mestilah berasaskan kepada nilai keintelektualan.

Di peringkat MPM INSANIAH, berkiblatkan kepada keintelektualan, Biro Sukan dan Kebudayaan Islam merancang untuk menzahirkan ketulusan budaya dan perpaduan ini dalam beberapa program yang berbentuk hiburan Islam. Melalui projek ini, MPM INSANIAH ingin memberikan kelainan 'mengangkat seni warisan bangsa seiring wacana global'- pelbagai projek telah disusun dengan teliti agar budaya yang diperjuangkan itu mampu memperlihatkan nilai intelektualnya dalam usaha membentuk budaya bestari untuk tatapan warga dunia. Segala khazanah pusaka yang berharga dari setiap kaum dan bangsa tidak kira sama ada Melayu, Cina, Kemboja, Indonesia, Thailand dan Somalia akan disatukan dan pada masa yang sama menobatkan ketinggian nilai budaya ini bersama sentuhan teknologi digital.

Pertandingan persembahan multimedia antara Kediaman yang bertemakan 'INSANIAH: mewarisi kegemilangan budaya, menyinari dunia futuristik', dijangka akan memberi pembaharuan dalam arena budaya INSANIAH. Buat pertama kalinya, keindahan budaya yang pelbagai akan dipersembahkan secara meriah hanya melalui hujung jari. Pancaran kegemilangan bertunjangkan sains dan teknologi akan menjadi pukauan kepada seluruh anak bangsa yang menjadi pewaris kegemilangan citra pimpinan bestari. Inilah inovasi yang cuba diterapkan dalam mengharmonikan budaya dan integrasi bersama mahasiswa antarabangsa.

Kampus sejahtera tidak akan bermakna jika kedua-dua unsur ini diabaikan oleh minda dan jiwa yang tertutup serta jumud dalam menilai ketamadunan budaya dan intergasi antarabangsa.

“Majulah sukan untuk negara” satu seruan dari kerajaan malaysia untuk mempertingkatkan prestasi sukan di peringkat dunia.MPM insaniah jugak tidak ketinggalan untuk sama-sama memartabatkan sukan.Penglibatan INSANIAH ke dalam sukan diperingkat negeri juga diperingkat nasional seperti karnival sukan IPTIM,MASISWA membuatkan MPM terpanggil untuk bersama-sama dengan pihak pentabiran untuk mengasah seterusnya melahirkan atlet yang profesional untuk membawa nama KUIN diperingkat yang lebih besar,insyallah.

Sebelum terlewat,saya mewakili barisan MPM sesi ini dan sesi lepas mengucapkan jutaan tahniah kepada kontijen KUIN atas prestasi yang memberangsangkan di karnival sukan IPTIM di KUIM pada bulan Disember yang lepas.Walaupun kita tidak dapat mempertahankan gelaran juara keseluruhan di dalam karnival sukan pada kali ini,tetapi kita tewas dalam keadaan terhormat.Bagi saya ia bukan tewas,tetapi masih belum menang.

Sahabat mahasiswa sekalian.

Kampus fakulti Multimedia juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama seiring dengan MPMKUIN kali ini dengan 2 wakil exco dari kuliyyah multimedia,bakal memberikan natijah yang lebih baik berkenaan dengan isu kebajikan,akademik,suasana dan sebagai nya.Kombinasi ini juga mampu memberi ruang yang lebih luas kepada sahabat-sahabat kita di kampus multimedia untuk menyalurkan maklumat,aduan dan sebagai nya.

Hadirin-hadirat

MPMKUIN tidak akan termampu untuk melaksanakan janji dan tanggungjawab ini jika hanya kami sahaja yang mengambil peranan dan prihatin tentang masalah dan program-program yang akan dijalankan.Justeru penglibatan daripada semua lapisan pelajar amat diperlukan bagi memastikan perjalanan perancangan yang dibina akan berjalan dengan baik seterusnya mampu membina MAHASISWA KELAS PERTAMA dan dapat menjalinkan jaringan yang lebih erat sesama kita,baik diperingat kampus,juga diperingkat nasional.

Cukup sekadar itu, akhir bicara, saya mewakili Majlis Perwakilan Mahsiswa bagi sesi 2009/2010 menyeru mahasiswa/i untuk sama-sama membangun dan membina kecemerlangan akademik, sahsiah dan pribadi dalam melahirkan mahasiswa berdaya saing di peringkat global. Sesungguhnya kami penuh sedar dan faham, bukan sedikit amanah yang terpikul dan bukan ringan beban ditanggung. Duduknya kami disini adalah atas dasar kepercayaan yang diberikan oleh rakan siswa/i, justeru itu MPM sesi ini akan terus menjadi wadah dan suara kepada mahasiswa/i dalam melahirkan pandangan yang dilontar atas dasar rasional tanpa mengetepikan tuntutan persendirian . Atas dasar keterbukaan dan kebersamaanMPMKUIN sebenarnya milik semua dan membawa aspirasi setiap antara kita. Maka menjadi tanggungungjawab bersama memperbaiki kepincangan andainya wujud, dan saling memperteguh jika dirasakan rapuh. Saya kira cukuplah amanat ini sampai di sini. Moga bicara ini nokhtahnya bukan di sini cuma, namun yang terlebih penting adalah tindakan kita untuk mengupaya dan menterjemah. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada hadirin dan hadirat yang sabar mendengar ucapan dasar ini. Semoga Allah memberkati perhimpunan kali ini, dan menjadi saksi komitmen kita kepada kepada perjuangan anak bangsa dan marilah kita bertawakal kepada Allah S.W.T.

Wasalam

ABDUL MU’AZ BIN AB AZIZ

PRESIDEN MPM SESI 2009/2010

BERSAMA MENJULANG THAQAFAH,MENUNTUT AMAL,MENCETUS PERUBAHAN

0 alu perlu kritikan:

Post a Comment